rempitbaik.blogspot.com: Perokok paling banyak di Terengganu
Google

Friday, July 20, 2007

Perokok paling banyak di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Terengganu ialah negeri tertinggi jumlah perokok di kalangan orang dewasa apabila hampir separuh daripada golongan itu terbabit dengan tabiat berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Nordiyanah Hassan ketika mendedahkan perkara itu, berkata daripada kajian yang dilakukan pihaknya, mendapati 40.2 peratus golongan dewasa di negeri itu menghisap rokok.

Beliau, bagaimanapun tidak menyebut jumlah golongan dewasa di negeri itu yang terbabit dengan tabiat itu.

“Golongan remaja juga terbabit dengan ini tersebut manakala ramai kaum wanita di negeri ini ketagih tembakau,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Hari Tanpa Tembakau Sedunia dan Calvacade “Jom Tak Nak Merokok” peringkat Terengganu oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan, Hal-Ehwal Pengguna dan Alam Sektiar negeri, Toh Chin Yaw.

Dr Nordiyanah berkata, Kementerian Kesihatan mempunyai akta bagi mencegah orang ramai menghisap rokok di 19 kawasan larangan termasuk di hospital, sekolah, pejabat, tempat awam seperti stesen bas, lapangan terbang dan restoran tertutup.

Mengikut Akta Peraturan Kawalan Hasil Tembakau, mereka yang merokok di tempat larangan itu boleh dikenakan kompaun sehingga RM500 bagi orang dewasa, manakala remaja di bawah 18 tahun dikenakan kompaun RM50, katanya.

“Bagaimanapun, jika mereka enggan membayar kompaun, mereka boleh dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dua tahun penjara,” kata Dr Nordiyanah.

Di Terengganu, beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga bulan lalu, sebanyak 26 kes dikenakan kompaun berjumlah RM6,300 manakala 91 kes lagi akan dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah itu, Jabatan Kesihatan menjalankan pelbagai usaha termasuk mengadakan ceramah serta Klinik Berhenti Merokok untuk memastikan rakyat di negeri ini berhenti merokok. - Bernama

oleh:Berita Harian Online - Edisi Timur

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin