rempitbaik.blogspot.com: Seks rambang semakin menular
Google

Monday, July 23, 2007

Seks rambang semakin menular

Oleh Hafizah Iszahanid

PERKONGSIAN jarum suntikan di kalangan penagih dadah masih menjadi faktor utama punca HIV di Malaysia. Buktinya berdasarkan statistik pada 2005 menunjukkan 49.3 peratus kes Aids dan 66.0 peratus HIV di negara ini berpunca daripada penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun, dengan gaya hidup gay yang seakan menjadi sebahagian budaya hidup lelaki di kota dan kisah ‘kenduri seks’ yang menjadi paparan muka depan akhbar, adakah seks masih dianggap taboo?

Ini dibuktikan dengan peningkatan kes HIV/Aids membabitkan golongan homoseksual, biseksual dan heteroseksual daripada 7.4 peratus pada 1995 kepada 25.6 peratus pada tahun lalu.

Itu belum diambil kira kisah habuan seks mat dan minah rempit, ‘parti anak VIP’ dan sebagainya yang tajuk sensasi akhbar sepanjang 2006. Adakah mereka ini tahu mengenai seks selamat? Paling penting, adakah mereka mengamalkan seks selamat?

Statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan menunjukkan di Malaysia satu kes HIV terjadi dalam setiap 90 minit. Ia bermaksud 17 jangkitan sehari. Jika 365 hari, 6,205 kes dicatat pada setiap hujung tahun.

Ketua Penolong Pengarah dan Pakar Perubatan (Kesihatan Awam), Dr Mohd Nasir Abd Aziz, berkata pada 2005, 6,120 kes baru dicatatkan dengan 73.2 peratus membabitkan belia berusia antara 20 hingga 39 tahun.

“Kaum Melayu mencatatkan kes jangkitan HIV/Aids paling tinggi dengan 53,272 kes dalam tempoh 20 tahun sejak 1986 hingga 2006 diikuti Cina (10,768 kes), India (5,966 kes) dan warga asing (2,339 kes) dan lain-lain 1,082 kes pada tempoh sama,” katanya.

Presiden Majlis Aids Malaysia (MAM), Profesor Adeeba Kamarulzaman, berkata isu Melayu sebagai pembawa HIV/Aids tertinggi bukan isu baru.

Beliau berkata, dari dulu orang Melayu memang mengungguli carta, mungkin disebabkan majoriti penduduk Malaysia adalah Melayu. Begitupun, kebanyakan kes dikaitkan dengan faktor penagih dadah dan perkongsian jarum suntikan.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 2004 melaporkan antara 31 hingga 41 peratus kes jangkitan HIV disebabkan perkongsian jarum dikesan di Kelantan dan Terengganu. Bagaimanapun, ia seimbang dengan penahanan 39,000 penagih dadah pada tahun sama yang menjelaskan, tindakan bersungguh-sungguh kerajaan membanteras penyalahgunaan dadah.

Begitupun, faktor perkongsian jarum suntikan kini bersaing dengan faktor seks tidak selamat dan seks sesama lelaki.

Menurut laporan WHO, di kalangan negara Asia, kes jangkitan HIV tertinggi dikesan di Asia Tenggara dengan kombinasi penggunaan jarum suntikan, seks tidak selamat dan seks sesama lelaki menjadi faktor penyumbang.

Ia mungkin boleh menjelaskan peningkatan jangkitan HIV di kalangan golongan muda berusia antara 20 hingga 29 tahun sebanyak 35.3 peratus.

Anehnya, dalam peningkatan kes HIV di kalangan orang muda Malaysia, di negara seperti Botswana, Burundi, Côte d’Ivoire, Kenya, Malawi, Rwanda, Tanzania dan Zimbabwe, dibuktikan adanya penurunan antara 2000 hingga 2005.

Mohd Nasir tidak menafikan hakikat itu, malah katanya, kini ia mungkin lebih hebat kerana tidak terbatas kepada faktor homoseksual tetapi turut membabitkan kes heteroseksual.

“Dulu HIV/Aids banyak dikaitkan dengan aktiviti homoseksual, tetapi kini kes membabitkan heteroseksual semakin tinggi dengan kebanyakan HIV dijangkiti daripada isteri yang mana 12 peratus wanita menghidap HIV/Aids,” katanya.

Adeeba juga tidak menafikan peningkatan kes HIV/Aids di Malaysia ketika ini adalah gabungan faktor seks tidak selamat, seks sesama lelaki dan perkongsian jarum suntikan.

Bagaimanapun, jika diikutkan, kempen mengenai seks selamat sudah dibuat sejak awal penubuhan MAM. Malah, satu ketika kempen seks selamat seakan menenggelamkan faktor sebenar jangkitan HIV/Aids di Malaysia. (perkongsian jarum suntikan).

Malangnya, ia seperti tidak memberi kesan kepada penduduk Malaysia. Adakah mesej MAM tidak sampai kepada sasarannya? Mungkin juga kerana WHO ada melaporkan di kebanyakan negara, maklumat mengenai seks selamat dan HIV tidak sampai.

Masing-masing menganggap risiko seks tidak selamat sebagai ‘risiko peribadi’. Malah, di negara yang mencatatkan kes HIV tertinggi seperti Swaziland dan Afrika Selatan, sekumpulan besar penduduk tidak percaya mereka berisiko tinggi untuk dijangkiti HIV.

Mengikut statistik yang dikeluarkan UNAIDS/WHO pada 2006, dianggarkan 39.5 juta penduduk dunia adalah pesakit Aids.

Pada tahun yang sama, 4.3 juta jangkitan dikesan dengan 65 peratus kes terjadi di sub-sahara Afrika selain wujudnya peningkatan kes di Timur Eropah dan Asia Tengah. Menurut WHO, peningkatan di Timur Eropah dan Asia Tengah adalah sebanyak 50 peratus sejak 2004. Tahun lalu, 2.9 juta orang mati kerana penyakit berkaitan Aids.

Dalam laporan WHO juga menyebut, peningkatan kes HIV turut dipengaruhi faktor penularan budaya gay di China, India, Nepal, Pakistan, Thailand, Vietnam dan negara Amerika Latin.

Mohd Nasir berkata, peningkatan ketara kes HIV/Aids yang dicatatkan setiap tahun amat membimbangkan, malah lebih menyedihkan apabila 500,000 kanak-kanak di bawah umur 15 tahun dilaporkan dijangkiti virus itu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 380,000 kes kematian membabitkan kanak-kanak yang kebanyakannya dijangkiti daripada ibu bapa,” katanya.

Pada 2005, WHO melaporkan di Malaysia, seramai 8,189 kanak-kanak di bawah 17 tahun kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya disebabkan Aids.

Pelbagai usaha dilakukan kerajaan mengurangkan kadar jangkitan HIV/Aids di negara ini termasuk kempen dan program mendidik masyarakat mengenai bahaya penyakit. Antaranya menganjurkan acara tahunan Hari Aids Sedunia serta jambori dan Konvensyen Program Sihat Tanpa Aids Untuk Remaja (Prostar).

Malah, sejumlah RM25 juta diluluskan sebagai peruntukan tambahan bagi menjalankan kempen dan program kesedaran bahaya HIV/Aids di kalangan rakyat.

Program Pengurangan Kemudaratan yang diumumkan tahun lalu diharap berupaya mengurangkan statistik jangkitan di kalangan penagih dadah selepas program terapi methadone dan pertukaran jarum dibuat.

Begitupun, jika hanya pihak pemerintah berusaha tetapi tuan punya badan masih bertindak sesuka hati dan sesedap rasa atas dasar ‘hidup ini aku yang punya’ tidak mustahil Malaysia akan menjadi negara pembawa HIV dan penghidap Aids utama di Asia.


INFO: Mengenali Komplikasi HIV/Aids

1. Pneumonia.

2. Mycobacterium aviumcomplex (MAC) - jangkitan pada sistem pernafasan dan berisiko menjejaskan organ dalaman termasuk hati dan limfa.

3. Batuk kering.

4. Jangkitan salmonella daripada makanan atau minuman tercemar. Semua orang berisiko pada jangkitan salmonella tetapi ia lebih kerap menyerang mereka yang positif HIV.

5. Hepatitis A, B dan C

6. Herpes simplex virus (HSV) - penyakit kelamin yang disebabkan seks tidak selamat melalui dubur atau vagina.

7. Human papillomavirus (HPV) - satu lagi penyakit kelamin menyebabkan peningkatan risiko barah pangkal rahim dan barah dubur (anal).

8. Progressive multifocal leukoencephalopathy (PML) - jangkitan otak yang sangat serius.

9. Candidiasis - radang dan lapisan putih tebal pada mukos membran mulut, lidah atau vagina.

10. Meningitis.

11. Toxoplasmosis - jangkitan membawa maut yang menyebabkan radang otak.

12. Kaposi's sarcoma - tumor pada dinding salur darah.

13. Wasting syndrome - dikesan pada 1980 dan bermula dengan penurunan berat badan, cirit-birit, demam dan tubuh yang menjadi sangat lemah.

14. Komplikasi neurologi - keliru, pelupa, murung, sukar untuk berjalan dan berubah sikap dan hilang fungsi mental.

references:harian online

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin