rempitbaik.blogspot.com: Semarakkan kemerdekaan di universiti
Google

Monday, July 23, 2007

Semarakkan kemerdekaan di universiti

KETIKA rakyat negara ini bakal menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara, akhir bulan depan, adakah kita cukup sekadar mengibarkan bendera di rumah dan premis perniagaan danberteriak melaungkan Merdeka, Merdeka, Merdeka?

http://www.mypendidik.net/webmaster/wp-content/images/KL03_120107_50_BUKU_MERDEKA.jpg

Pada era serba canggih kini, peranan mahasiswa bukan saja menjadi alat ekonomi, tetapi perlu memikirkan hal ehwal negara. Mahasiswa hari ini perlu menanamkan semangat jati diri iaitu patriotisme dengan menginsafi bahawa nikmat pembangunan dan kemudahan pelajaran diperjuangkan pemimpin terdahulu.

Perlu diingat, kemerdekaan ini perlu dibalas generasi muda dengan memikirkan bagaimana membangunkan sahsiah insan merdeka supaya rasa cinta tidak akan hilang begitu saja seperti berlalunya tarikh bersejarah 31 Ogos 2007 nanti. Kita tidak mahu semangat patriotisme hanya pada hari bersejarah, sebaliknya perlu disemadikan di dalam hati sepanjang masa.

Mahasiswa pada era canggih ini jangan lupa pada jasa ketuanan Bahasa Melayu yang menjadi alat kita memerdekakan Tanah Melayu dari serangan dealogi penjajah pada masa dulu.

Bahasa kebangsaan bukan milik orang Melayu saja, tetapi milik kita bersama, milik pencinta bahasa. Janganlah kita terlalu agungkan bahasa Inggeris hingga melupakan kepentingan bahasa tempatan yang digunakan seharian.

Mahasiswa perlu tahu dan ingat, kemerdekaan kita dengan laungan dalam bahasa kebangsaan iaitu Merdeka! Merdeka! Merdeka! . Janganlah kita lupa pada tokoh bahasa seperti Zaaba yang banyak bersusah payah mendaulatkan bahasa yang memerdekakan tanah air.

Universiti di negara hari ini harus menyediakan program khas menyambut kemerdekaan baik berbentuk perbahasan, syarahan, perhimpunan patriotisme selain menyertai program anjuran kerajaan.

Sebagai golongan pasca kemerdekaan, mahasiswa hari ini sebenarnya perlu bersedia berkerja keras bagi menjadikan Malaysia, setanding negara maju lain, tanpa meninggalkan identiti dan kebudayaan masyarakat kita dan tidak mengagungkan budaya barat yang kian menular.

Pada hari ini, penjajahan Barat bukan saja dalam bentuk ketenteraan tetapi meliputi ekonomi, sosial dan politik. Mahasiswa harus memandang ke hadapan dengan bekalan ilmu pengetahuan dan semangat jati diri bangsa Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah berkata tanggungjawab golongan muda hari ini ialah memikul keamanan negara selepas golongan terdahulu bersusah payah menyabung nyawa menjaga keamanan negara selama 50 tahun.

Angka 50 ini harus dipegang remaja supaya berjaya menjadikan Malaysia sebagai negara berdaulat dan merdeka.

Mahasiswa perlu bersedia agar tidak mudah leka dengan kesenangan sekarang. Bulatkan tekad untuk memajukan diri, keluarga, bangsa dan negara dengan belajar bersungguh-sungguh.

Dengan tema Malaysiaku Gemilang diharap mahasiswa dan masyarakat amnya terus memastikan tanah air kita tidak dijajah kembali. Malaysia harus disayangi sehingga akhir hayat.

KHAIRUL ZAIN MOHD SHAARI,
Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

references:berita harian online

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin