rempitbaik.blogspot.com: Cadangan sebat Mat Rempit
Google

Monday, December 10, 2007

Cadangan sebat Mat Rempit




PARLIMEN

Kerajaan mungkin mempertimbangkan hukuman lebih berat termasuk sebat ke atas pelumba motosikal haram Mat Rempit memandangkan undang-undang sedia ada didapati kurang berkesan dalam menangani gejala tersebut.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharum berkata, isu itu bertambah serius kerana Mat Rempit kini semakin berani bertindak di luar batas undang-undang termasuk memukul dan membaling objek kepada polis.

“Selain daripada merampas motor mungkin kita dapat mencadangkan kepada kerajaan untuk mengenakan hukuman yang lebih berat seperti hukuman sebat dan sebagainya,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Hashim Jahaya (BN-Kuala Kedah) di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Johari berkata, peningkatan insiden Mat Rempit bertindak ganas mungkin berpunca daripada pengambilan dadah.

Menjawab satu lagi soalan tambahan dari Lau Yeng Peng (BN-Puchong), beliau berkata, secara keseluruhan kegiatan Mat Rempit berjaya dikawal khusus di kawasan tertentu di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

Tetapi, katanya, pihak berkuaasa mendapat maklumbalas bahawa Mat Rempit masih menjalankan aktiviti mereka di tempat lain pada waktu tertentu.

Terdahulu menjawab soalan asal Hashim, beliau berkata, sebagai langkah jangka pendek untuk menangani isu lumba haram, kementeriannya menerusi polis telah melancarkan beberapa operasi sepanjang tahun.

“Kita menggiatkan operasi ini semasa hujung minggu, di samping menjalankan operasi bersepadu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya sambil menambah, selain tindakan tegas terhadap pelumba penonton yang menyaksikan perlumbaan haram juga dikenakan tindakan.

Menjawab soalan lain, Mohd Johari berkata sesebuah kes dianggap “selesai” apabila berlaku tangkapan seorang penjenayah yang dikenalpasti terlibat dalam kes berkenaan. – Bernama

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin