rempitbaik.blogspot.com: Pulangkan Linie – PM -- Penculik mesti insaf, berani serahkan balik
Google

Sunday, January 13, 2008

Pulangkan Linie – PM -- Penculik mesti insaf, berani serahkan balik

Oleh ZULKIFLI JALIL dan HASHNAN ABDULLAH


PRIHATIN... Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melihat poster Sharlinie yang disumbangkan Utusan Malaysia semasa perjumpaan bersama ibu bapa mangsa Mohd. Nashar Mat Hussin (dua dari kanan) dan Suraya Ahmad di kediaman mereka di Taman Medan, Petaling Jaya, semalam. – Gambar Mohd. Naim Aziz.

PUTRAJAYA 12 Jan. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini secara peribadi merayu kepada penculik Sharlinie Mohd. Nashar supaya memulangkan kanak-kanak berusia lima tahun itu ke pangkuan keluarganya.

Sambil menyifatkan penculik Sharlinie sebagai manusia kejam dan tidak berhati perut, beliau berharap individu terbabit akan insaf dan peka dengan kemarahan rakyat.

“Orang itu mesti insaf dengan kemarahan rakyat dan berani serahkan balik Sharlinie,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai rayuan peribadinya berhubung kes kehilangan kanak-kanak itu sejak Rabu lalu.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada Hari Keluarga Pejabat Perdana Menteri di pekarangan Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri, di sini hari ini.

Rabu lalu, Sharlinie diculik ketika bermain bersama-sama kakaknya di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya pada pukul 11.30 pagi.

Polis yang tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan beberapa kes culik di Lembah Klang telah menubuhkan pasukan khas Bukit Aman dan Selangor bagi memburu suspek berkaitan.

Setakat ini, polis yang mengedarkan lakaran suspek terbabit kepada orang ramai menerima petunjuk baru apabila dua penduduk Taman Medan mendakwa ternampak lelaki disyaki di lokasi kehilangan Sharlinie.

Polis, kata Perdana Menteri, sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengesan kanak-kanak tersebut dan menangkap orang yang bertanggungjawab agar kes itu boleh dibawa ke mahkamah dengan segera.

Abdullah yang bimbang dengan perkembangan kes penculikan kanak-kanak di negara ini menegaskan, usaha mencari Sharlinie mesti diteruskan sampai berjaya.

Perdana Menteri turut menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa menjaga dan mengawasi anak-anak mereka bagi mengelakkan kes penculikan kanak-kanak.

“Jangan lepaskan mereka pergi ke kedai seorang diri dan kalau ada yang teman mesti kena perhati dan pegang tangan kanak-kanak itu kerana dikhuatiri ada orang yang memerhati dan mengambil kesempatan apabila ada peluang,” katanya.

Ditanya mengenai suspek dalam kes culik dan bunuh Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin yang sehingga kini belum berjaya ditangkap oleh polis, Abdullah berkata, beliau percaya pihak polis akan berusaha menahannya tidak lama lagi.

‘‘Cuma kita jangan cepat putus ada, suatu hari nanti dia (suspek) akan ditahan,” katanya.

Penjenayah bagi kes-kes culik melibatkan Allahyarham Nurin Jazlin dan Sharlinie digelar sebagai ‘Abang Kucing’ kerana modus operandi memujuk mangsa mencari kucing dan burung yang hilang.

Sementara itu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah dalam satu kenyataan kepada Bernama, merayu kepada penculik Sharlinie Mohd. Nashar agar tidak mencederakan kanak-kanak berusia lima tahun itu dan mengembalikannya dengan selamat kepada ibu bapanya secepat mungkin.

Beliau membuat rayuan itu selepas melawat ibu bapa kanak-kanak yang hilang itu di rumah mereka di Taman Medan, Petaling Jaya hari ini.

Jeanne turut merayu kepada semua sekolah untuk memaklumkan kepada pelajar pada perhimpunan sekolah dan acara-acara lain, mengenai pentingnya menjaga keselamatan diri.

Sekolah perlu mewujudkan kesedaran yang tinggi mengenai perkara itu dan menasihatkan pelajar mereka supaya berhati-hati pada setiap masa, katanya.

Mereka perlu sentiasa mengingatkan pelajar untuk sentiasa berjaga-jaga dan apa yang perlu mereka awasi walaupun ketika berada di rumah, katanya.

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin